Sebagai seorang tokoh sejarah, Allahyarham telah banyak menulis buku-buku Sejarah khususnya berhubung dengan sejarah bagi rantau Asia Tenggara. Di antara hasil penulisan Allahyarham ialah Tunku Abdul Rahman and his role in the Baling Talks: A documentary history (1998), Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1984 (Penerbit UKM 1999), The Malays of Patani: The search for security and independence (MPH 2008), Tok Janggut: Pejuang atau penderhaka? (Jabatan Sejarah UKM), Konfrontasi Malaysia-Indonesia (Penerbit UKM 2000), Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan: Isu sempadan dan kedaulatan (Penerbit UKM 2003), Tuntutan Malaysia ke atas Borneo Utara (Penerbit UKM 2001), Duri Dalam Daging: Singapura dalam Malaysia (Persatuan Sejarah Malaysia 2001) dan artikel-artikel lain yang dimuatkan dalam pelbagai media maklumat.
Kali terakhir seluruh warga IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan dapat mendengar syarahan Allahyarham ialah pada 16 September 2009 semasa beliau diundang ke forum sempena Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan 2009 bersama-sama Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Prof. Dato’ Dr. Hajah Ramlah Adam. Allahyarham yang sentiasa konsisten dengan pandangan dan pendapat tentang sejarah itu telah menegaskan bahawa penjelasan tentang sejarah sebenar negara perlu dilakukan dengan jujur dan telus tanpa kepentingan-kepentingan lain. Aspek ini penting untuk menghapuskan rasa syak wasangka yang boleh timbul akibat daripada ‘kabur sejarah’ dalam kalangan rakyat di negara ini. Selain itu beliau telah mengupas tentang peri pentingnya pembelajaran mata pelajaran Sejarah dikembalikan ke tempat asalnya dengan wajib dipelajari di semua peringkat dalam sistem pendidikan negara ini. Hari ini saranan itu telah hampir terlaksana, dan Allahyarham telah pergi meninggalkan kita semua untuk selama-lamanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan digolongkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Alfatihah
Bacaan dalam bahasa Inggeris:
http://pkukmweb.ukm.my/news/index.php/en/extras/508-prof-dato-nik-anuar-ukms-history-lecturer-and-national-historic-figure-passed-away.html
Bacaan dalam bahasa Siam:
http://arabic.amannews.org/view/view.php?id=801
No comments:
Post a Comment